Tuesday, 6 May 2014

Perginya Legasi Terakhir Bujang Lapok - Dato Aziz Satar (Pak Ajis)


Dato Aziz Satar (Pak Ajis) Dalam Kenangan (1925 - 2014)

"Di mana kan ku cari ganti, mungkinkah di syurga, 
Untuk teman berdua, menangis bersama, selamanya"
Dimanakan Ku Cari Ganti - Tan Sri P.Ramlee

Assalamualaikum semua,

Pertama sekali maaf ye kalau entri kali ini tidak berkenaan. Kak Zu ingin mengucapkan sekalung takziah buat keluarga Pelawak Lagenda tanah air, Pak Ajis atau Dato Aziz Satar, 89 tahun atas pemergian lagenda berkenaan. Pak Ajis menghembuskan nafas yang terakhir pada pagi Selasa, 6 Mei 2014 di Hospital Kajang akibat serangan jantung. Pak Ajis yang sangat-sangat dikenali bersama Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan juga arwah Pak Sudin dalam filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok. Lawaknya yang bersahaja dan mencuit rasa, pasti meninggalkan kesan kepada semua yang menonton. Kak Zu antara generasi muda yang masih menonton filem lakonan arwah, terutamanya semua filem Bujang Lapok. Dialognya yang mudah diingati. Bayangkan, hampir 50 tahun semua filem tersebut ditayangkan, tetapi kita masih gelak sakan, kan?


"Jolok motosikal ye bang?", "Makcik makcik, oo nek, lekaslah nak mandi ni oii", "walaupun rupamu tidakku kenal tetapi lubang hidungmu tetap menjadi poojaan hatiku" atau "Oi din, ape ko siram pokok besar ni?" antara dialog kegemaran dari Pak Ajis menjadi ikutan penonton. Kak Zu terpanggil untuk menulis tentang Pak Ajis dalam entri kali ini, kerana kak Zu sendiri amat mengagumi Pak Ajis. Walaupun tidak pernah jumpa, apatah lagi kenal, Pak Ajis sangat dekat di hati kak Zu. Di saat arwah Pak Sudin terlantar sakit di Singapura, Pak Ajis banyak menghidupkan aura Seniman Agung P.Ramlee sepanjang hayat beliau. Sehinggakan ketika kak Zu mula meminati kumpulan Sepah, aura ketiga-tiga seniman agung ini seakan-akan sampai kepada mereka bertiga, Jep, Mamat & Shuib. Kak Zu nampak Pak Ajis dalam diri Shuib, Kak Zu lihat bayang Pak Sudin pada diri Mamat dan.........kak Zu nampak aura P.Ramlee di wajah Jep. 




Kini semuanya tiada lagi. Perginya Pak Ajis membawa kenangan dan legasi Bujang Lapok. Mungkinkah akan ada Trio Bujang Lapok selepas ini? Bagi kak Zu, Pak Ajis, Pak Sudin dan Uncle Ramlee tiada galang ganti. Datanglah yang mengganti, tetapi di hati kak Zu, trio Bujang Lapok kesayangan kak Zu tetap mekar. Buat Pak Ajis, Pak Sudin & Uncle Ramlee........damailah kalian di sana. Tenanglah di pembaringan akhir dan tidur yang panjang. Kami akan mendoakan, dan semoga pelawak generasi baru akan menyambung legasi kalian. Terima kasih Lagendaku.........AL FATIHAH.






TERIMA KASIH LAGENDAKU..............

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.